Blogger Templates

Saturday, December 10, 2011

Sindiket tipu gelaran ‘Datuk’

ALOR SETAR: Satu sindiket dipercayai terbabit menipu orang ramai dengan janji boleh mendapatkan gelaran ‘Datuk’ di negeri ini, didapati turut bergiat aktif di sekitar Lembah Klang sejak beberapa bulan lalu.

Difahamkan, sindiket didalangi ‘orang kenamaan’ itu dikatakan licik memperdayakan mangsa.

Sindiket itu setakat ini memperdaya sekurang-kurangnya beberapa mangsa, termasuk seorang usahawan bergelar Datuk Seri membabitkan penipuan puluhan ribu ringgit.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, pihaknya menerima laporan mangsa yang mendakwa ditipu sindiket berkenaan untuk mendapatkan gelaran Datuk di negeri ini.

“Kita menyiasat sindiket ini yang dipercayai menjalankan kegiatan penipuan di Lembah Klang dan Kedah. Sindiket ini dipercayai bergiat aktif memperdaya mangsa sejak dua tiga bulan lalu.

“Setakat ini, seorang mangsa bergelar Datuk Seri menjadi mangsa sindiket berkenaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Modus operandi mereka ialah menghampiri mangsa dan mendakwa mempunyai hubungan rapat dengan golongan tertentu dan bersedia membantu mendapatkan gelaran berkenaan.

Selain berjanji mendapatkan gelaran Datuk, sindiket berkenaan dikatakan mendakwa boleh membantu mangsa mendapatkan tanah milik kerajaan dengan bayaran tertentu.

Mereka turut menggunakan nama beberapa agensi kerajaan untuk memperdayakan mangsa, selain memandu kenderaan mewah setiap kali mengadakan pertemuan.

Bagi memastikan mangsa mudah diperdaya, ahli sindiket dikatakan menyamar sebagai Datuk dan menggunakan pelbagai nama berbeza bagi mengelak dikesan.

Setakat ini, mangsa yang diperdayakan ahli sindiket itu membuat laporan polis. Berikutan itu, polis menjalankan gerakan memburu mereka disyaki terbabit.

Sehubungan itu, Syed Ismail menasihatkan orang ramai yang pernah diperdaya atau ditipu sindiket itu supaya membuat laporan di balai polis bagi memudahkan siasatan.

Metro Ahad difahamkan, mangsa dijanjikan gelaran Datuk oleh ahli sindiket itu mengikut bayaran tertentu tetapi menghilangkan diri selepas menerima bayaran.

From :

http://www.hmetro.com.my/articles/Sindikettipugelaran__8216_Datuk__8217_/Article/artikelMA

0 comments: